
Sejarah Hidup Imam Syafie Bahagian 1 ini akan berkongsi dengan anda semua tentang riwayat hidup seorang ulama besar dalam dunia Islam. Imam Syafie merupakan seorang imam mujtahid pada zaman beliau.
Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Usman bin Syafie bin As-Saib, juga dikenali sebagai Imam Syafie adalah ahli fiqh Islam yang terkemuka dalam sejarah Islam. Beliau adalah pengasas kepada mazhab syafie, salah satu daripada mazhab Islam yang banyak diikuti oleh penganut agama Islam di Indonesia dan Malaysia.
Riwayat Hidup Imam Syafie
Beliau dilahirkan di Ghazzah, daerah Esqalan, di Palestin. Selepas kemangkatan bapa beliau, keluarganya berhijrah ke Palestin bersama-sama dengan Bani Yaman, yang merupakan satu keturunan ibu beliau. Ketika berumur 10 tahun, beliau berhijrah sekali lagi ke Makkah.

Beliau mula mempelajari al-Quran ketika berumur tujuh tahun dan mula mempelajari dan mengingati kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik pada umur 10 tahun. Ketika berumur 15 tahun, beliau diberi pengiiktirafan untuk mengajukan pendapat beliau di dalam bidang fiqah.
Bapa beliau berasal daripada bani Quraisy, dan nenek moyang nya adalah al-Mutallib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Bani Quriasy merupakan penyokong Nabi Muhammad S.A.W setelah Perang Badar. Sejarah keturunan beliau memberikan beliau martabat dan mungkin juga menjadi sumber inspirasi untuk beliau mempertahankan ajaran Islam.
Penyebaran Ilmu Islam Imam Syafie
Imam Syafie dibesarkan di Hijaz, tanah asal Ahli Sunah Waljamaah. Pada awalnya, beliau berpegang kepada ajaran Imam Malik sebelum berhijrah ke Iraq dan di sana beliau didedahkan kepada logik Islam yang diamalkan oleh ahli fiqah Iraq.
Setelah itu, Imam Syafie berhijrah ke Mesir di mana beliau memperkenalkan pemikiran, sistem pentaakulan dan ajaran beliau yang pada hari ini dikenali sebagai mazhab Syafie. Pengajian beliau dalam ilmu fiqah terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat permulaan ialah ketika beliau di Makkah dan Madinah, Hijjaz. Setelah dilatih untuk menjadi ahli fiqah yang mengutamakan Sunnah nabi, beliau dihantar ke Iraq.

Di Iraqlah bermula peringkat kedua pengajian beliau, dengan mendapat pendidikan mengenai pentaakulan dalam menentukan syaria Islam. Peringkat terakhir adalah ketika beliau di Mesir dan pengasasan mazhab Syafie.
Membesar di kalangan puak Badwi, kemudiannya kembali ke Makkah dan memulakan pengajian syaria beliau dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, Mufti Mekah ketika itu, Sufian bin Uyaina, dan lain-lain lagi. Walaupun telah diiktiraf untuk menjadi hakim, beliau membuat keputusan untuk meneruskan pengajian dengan Imam Malik. Imam agung ini meinggalkan Mekah ke Madiah untuk bertemu dengan Imam Malik, dan umur beliau ketika itu ialah 22 tahun.
Satu riwayat menyatakan beliau pergi menemui gabenor Madinah dengan berbekalkan surat pengenalan dari gabenor Makkah dan meminta dipertemukan dengan Imam Malik. Pada mulanya gabenor Madinah itu agak keberatan tetapi akhirnya dia menemani ilmuan agung ini pergi ke rumah Imam Malik. Imam Malik kagum dengan kepintaran Imam Syafie lalu Imam Malik membenarkan beliau mempelajari al-Muwatta’ di bawah bimbingannya. Beliau kekal tinggal di Madinah sehinggalah Imam Malik meninggal dunia.
Perjalanan Imam Syafie Ke Yaman
Keilmuannya menarik perhatian gabenor Yaman yang sedang mengerjakan haji di Makkah. Ketika itu beliau berusia 30 tahun. Gabenor Yaman mempelawa Imam Syafie untuk menjadi qadhi di Yaman. Kerjaya Imam Syafie berjalan dengan baik.
Bagaimana pun, perkhidmatan imam yang dihormati ini berjangka hayat pendek. Terbukti imam mujtahid ini adalah seorang qadhi yang adil, tetapi beliau tidak lama kemudian tersangkut dalam pertelingkahan dan perselisihan tempatan yang bukan sahaja menyebabkan Imam Syafie bukan sahaja kehilangan jawatan malah diheret dengan rantai ke Iraq atas tuduhan menyokong Imam Zaydiyyah Yahya ibn Abdullah yang menjadi saingan kepada khalifah Abbasiyyah.
Beliau dibawa ke hadapan khalifah Harun al-Rashid di al-Raqqa, Iraq bersama-sama tawanan-tawanan lain pada tahun 187H/803M. Tawanan-tawanan lain dihukum bunuh tetapi Imam Syafie diampunkan setelah beliau berjaya membuktikan kesetiaannya kepada khalifah. Dikatakan bahawa faqih mazhab Hanafi yang terkenal, Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani yang hadir ketika itu juga membela Imam Syafie.
Dikatakan khalifah Harun berasa sukacita dengan penghujahan imam hebat ini dan kemudiannya menjadi penaung beliau. Selepas insiden ini, Imam Syafie makin rapat dengan al-Shaybani dan makin giat menumpukan kepada pembelajaran fiqah dan tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan kerajaan.
Itu sahaja untuk setakat ini. Jangan lupa baca bahagian yang kedua pula!
Baca juga:
2 thoughts on “Sejarah Hidup Imam Syafie Bahagian 1”
Pingback: Sejarah Hidup Imam Syafie Bahagian 2 - Baitul Taaruf
Pingback: 2 Adab Menuntut Ilmu - Baitul Taaruf