
4 Adab Tidur Dalam Islam ini akan berkongsi dengan anda tentang adab-adab yang boleh anda amalkan sewaktu hendak tidur. Penulisan ini akan memberikan anda gambaran bagaimana adab tidur Rasulullah SAW.
Sebagai umat Islam kita dipenuhi dengan adab pada setiap hari. Dari bangun tidur hingga tidur semula kita sudah diajar tentang adab yang perlu kita amalkan.
Jangan Tidur Lambat Ialah Adab Tidur
Adab tidur yang pertama ialah jangan tidur larut malam. Sebagaimana yang kita tahu bahawa manusia memerlukan waktu tidur yang cukup. Diantara 7 hingga 8 jam setiap hari. Tidur yang tidak cukup boleh menyebabkan masalah kesihatan pada diri seseorang.

Kebiasaan melakukan aktivti berat pada waktu malam atau terjaga di malam hari juga tak disukai oleh Rasulullah. Hal ini kerana, melakukan aktiviti berat di waktu malam akan membazir masa kerana waktu malam ialah waktu untuk kita tidur dan berehat. Tidur lambat ini akan menyebakan juga kita terlewat melakukan ibadah seperti solat subuh.
Diriwayatkan dari Abu Barzah radhiyallahu anhu, beliau berkata yang mafhumnya; “Bahwasanya Rasulullah membenci tidur malam sebelum Sholat Isya dan berbincang-bincang yang tidak bermanfaat setelahnya,” (HR. Bukhari Muslim).
Dari hadis ini kita dapat mengambil pelajaran bahawa setelah menunaikan Solat Isya’ kita digalakkan untuk terus berehat dan tidak melakukan hal yang sia-sia. Jikalau terdapat perkara-perkara yang perlu diuruskan maka tidak mengapa untuk kita tidur lewat.

Amalan Berwuduk Merupakan Adab Sebelum Tidur
Ramai yang tersalah anggap dengan ibadah yang senang dan ringan untuk dilakukan ini. Mereka sangka bahawa berwuduk hanya dilakukan ketika hendak solat sahaja. Sedangkan kita sebagai orang Islam digalakkan untuk sentiasa dalam keadaan berwuduk sepanjang masa.

Berwuduk dikelaskan sebagai salah satu adab tidur kerana terdapat perintah melalui hadis nabi untuk kita berbuat yang demikian. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Apabila engkau hendak mendatangi pembaringan (tidur), maka hendaklah berwuduk terlebih dahulu sebagaimana wudukmu untuk melakukan solat,” (HR. Bukhari Muslim).
Dengan berwuduk, jelas tubuh kita akan lebih bersih dan suci serta terasa lebih nikmat saat hendak tidur dan beristirehat. Jika kita mempunyai wuduk maka lebih mudah untuk kita beribadah kerana kita sudah dalam keadaan suci.
Mengemas Tempat Tidur Merupakan Adab Tidur
Adab tidur yang ketiga ialah membersihkan tempat yang bakal kita tidur. Dalam Islam, kita dianjurkan untuk memeriksa tempat tidur yang hendak kita baring di atasnya. Kita perlu memeriksa jikalau tempat tidur kita mempunyai binatang yang berbisa dan lain-lain lagi.

Kita juga disuruh untuk mengibas-ngibas tempat tidur kita. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Jika salah seorang di antara kalian akan tidur, hendaklah mengambil potongan kain dan mengibaskan tempat tidurnya dengan kain tersebut sambil mengucapkan ‘Bismillah’. Karena ia tidak tahu apa yang terjadi sepeninggalnya tadi,” (HR. Bukhari Muslim).
Kita juga diingatkan untuk membaca basmalah ketika sedang mengibas tempat tidur kita untuk mengelakkan sebarang bahaya.
Matikan lampu Dan Menutup Wadah Makanan Dan Minuman
Ramai yang mengambil mudah tentang adab tidur yang satu ini. Bahkan ada diantara kita yang tidak tahu bahawa perkara ini termasuk di dalam sunnah Rasulullah SAW sebelum tidur.
Mematikan lampu ketika hendak tidur merupakan satu amalan yang baik. Perkara ini juga diperakui dari sudut saintifik. Ini kerana, apabila kita tidur keadaan sekeliling haruslah berada dalam keadaan yang gelap. Cahaya yang terang bakal mengganggu tidur kita.

Wadah bermaksud bekas makanan. Kita dianjurkan untuk menutup semua bekas makanan dan minuman ketika hendak tidur. Perkara ini boleh menghindarkan makanan kita daripada terkena lalat dan haiwan lain yang akan menyebarkan bakteria kepada makanan kita. Penutupan bekas makanan dan minuman kita juga dapat menghindarkan daripada syaitan.
Rasulullah SAW bersabda:“Matikanlah lampu-lampu kalian jika kalian hendak tidur. Dan tutuplah pintu-pintu, tutuplah bejana serta wadah makanan dan minum kalian,” (HR. Bukhari).
Demikianlah antara adab tidur yang ingin dikongsikan pada hari ini. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi adab tidur yang kita boleh amalkan. Mari jangan lepaskan peluang anda untuk mengumpul pahala dengan cara yang mudah dan senang.

Baca Juga:
1 thought on “4 Adab Tidur Dalam Islam”
Pingback: Cara Menunaikan Solat Taubat - Baitul Taaruf